307 laporan polis diterima berkait isu hina Sultan Selangor
By Ilamparithi
PETALING JAYA – Sebanyak 307 laporan polis diterima setakat ini berhubung penularan bahan mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial.
Menerusi kenyataan di muat naik di Facebook Selangor Royal Office, perkara itu dimaklumkan selepas Baginda disembah maklum oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengenai perkembangan siasatan berkaitan isu tersebut.
Dalam masa yang sama, Selangor Royal Office memaklumkan, sebanyak 18 lagi laporan polis dibuat terhadap satu lagi hantaran di akaun Facebook dengan nama ‘Lucas Liam’.
“Sehingga kini, satu tangkapan telah dibuat di Pulau Pinang,” ujarnya.
Tambah Selangor Royal Office, kemunculan bahan-bahan penghinaan terhadap Sultan Selangor di media sosial dipercayai susulan isu penternakan babi di negeri Selangor yang dibahaskan pada Sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.-Alaiolinews

Comments
Post a Comment