Dua remaja suspek kes bunuh 61 tikaman tiba di mahkamah untuk proses sambung reman
By Alaioli editorial
KOTA BHARU – Dua remaja berusia 19 tahun yang merupakan suspek dalam kes seorang gadis maut 61 tikaman sebelum ditinggalkan di Kampung Simah, Ketereh di sini pada minggu lalu tiba Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini untuk permohonan lanjutan reman.
Kedua-dua suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Sebelum ini media melaporkan seorang gadis bernama Nurfisya Zulkifly berumur 19 tahun dibunuh kejam dengan 61 tikaman sebelum mayatnya ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati, ada sebanyak 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.
Sehubungan itu, empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas direman bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid membenarkan dua lelaki berusia 19 tahun masing-masing menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga hari ini.
Pasangan suami isteri berusia 66 tahun dan 60 tahun yang ditahan reman selama tiga hari bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad lalu.-Alaiolinews

Comments
Post a Comment