Nahas Jalan Ampang: ‘Kami hanya mahu keadilan untuk ibu bapa’
By Ilamparithi
KUALA LUMPUR – Tiga beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata ingin menuntut keadilan selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka dalam kemalangan tragis di Jalan Ampang, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.34 pagi itu, A. Doraisingam, 61, dan isterinya, A. Menagah, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta.
Difahamkan, ketika kejadian, mendiang Doraisingam sedang menghantar isterinya ke tempat kerja di Hospital Gleneagles yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi nahas.
Anak sulung mendiang, D. Shathisuaran, 26, berkata, kehilangan tersebut memberi kesan besar kepada kehidupan mereka sekeluarga.
“Kami hanya mahu keadilan untuk ibu bapa kami. Pada malam sehari sebelum kejadian, saya keluar pergi kenduri, jadi mak pesan untuk balik awal. Saya tak sangka itu perbualan terakhir kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Raja Laut, di sini hari ini.
Shathisuaran yang bekerja sebagai juruteknik kini perlu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menanggung dua adiknya, Pavithra, 24, dan Cheran, 19.
“Sekarang ini saya seorang bekerja dengan gaji sekitar RM2,200. Jadi, saya kena kuat untuk adik-adik saya,” jelasnya.-Alaiolinews

Comments
Post a Comment