Pemandu mabuk rempuh suami isteri hingga maut disiasat kes bunuh
By Ilamparithi
KUALA LUMPUR – Kes kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri di Jalan Ampang Sabtu lalu kini diklasifikasikan semula dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, suspek lelaki berusia 24 tahun yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur telah ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya lagi, suspek telah dibenarkan keluar hospital pada semalam sebelum hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee pada hari sama.
“Suspek kemudian ditangkap dan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Pada hari ini, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Lumpur, Nur Atikah Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari sehingga 11 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini media melaporkan pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dari arah belakang dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Jalan Ampang, di sini, 2 Mei lalu.
Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang pasangan suami isteri terbabit.
Pemandu dan penumpang hadapan berusia 23 tahun kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
Seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan telah dibenarkan pulang sebelum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan. - Alaiolinews

Comments
Post a Comment