Remaja 19 tahun suspek utama kes bunuh gadis dengan 61 tikaman dijangka didakwa Khamis ini
Oleh Ilamparithi
KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 19 tahun yang merupakan suspek utama dalam kes seorang gadis maut dengan 61 tikaman sebelum ditinggalkan di Kampung Simah, Ketereh di sini pada Jumaat lalu dijangka didakwa di mahkamah pada Khamis 7 Mei 2026.
Ketua Polis Kelantan, Komisioner Datuk Mohd. Yusoff Mamat sambil mengesahkan perkara itu berkata, lelaki itu akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun jika disabitkan kesalahan.
“Seorang lagi suspek yang juga berusia 19 tahun akan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Setakat ini, siasatan kes tersebut sudah 70 peratus selesai. Kita akan serahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan sebaik sahaja semuanya siap,” katanya pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang gadis bernama Nurfisya Zulkifly, 19, dibunuh dengan 61 tikaman sebelum mayatnya ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini pada Jumaat 1 Mei lalu.
Tambah Mohd. Yusoff lagi, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati, terdapat sebanyak 61 kesan tikaman pada tubuh badan mangsa bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.
Sehubungan itu, empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas direman bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid membenarkan dua lelaki berusia 19 tahun masing-masing menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini.- Alaiolinews

Comments
Post a Comment