Sindiket penipuan sasar warga India guna 'Inspektor Sunil' tersungkur
By Ilamparithi
KUALA LUMPUR - 'Inspektor Sunil' yang menyamar sebagai pegawai polis dari India bagi melakukan jenayah penipuan dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warganegara tersebut akhirnya berjaya ditumpaskan baru-baru ini.
Sindiket Macau Scam itu dibongkar oleh Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sebuah banglo di ibu negara pada 23 April lalu.
Pengarah JSJK Bukit Aman Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 22 individu termasuk tiga wanita ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan pihaknya.
Katanya lagi, tangkapan terdiri daripada 13 warga Pakistan, dua warga Taiwan, enam warga India serta seorang warga tempatan.
"Modus operandi sindiket ialah menyamar sebagai pihak berkuasa termasuk Polis India dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah berkaitan penyebaran kandungan berunsur hasutan yang berkaitan dengan kerajaan India.
"Sindiket juga menggunakan skrip khas bagi memperdaya mangsa sebelum meminta mangsa membuat bayaran kononnya bagi tujuan siasatan," katanya dalam sidang media di Menara KPJ, ibu negara pada Selasa.
Tambahnya, serbuan terbabit berjaya merampas pelbagai barangan antaranya 49 telefon bimbit, tiga unit komputer riba, 12 salinan skrip serta sepasang uniform polis India.
Kata Rusdi, JSJK percaya uniform polis itu digunakan oleh salah seorang suspek bagi meyakinkan mangsa kononnya mereka ialah pegawai polis.
"Dipercayai sindiket ini juga melibatkan akaun keldai yang dibekalkan oleh sindiket dari negara terbabit," ujarnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan JSJK juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa India serta Pakistan untuk tindakan lanjut.-Alaiolinews

Comments
Post a Comment