Wanita warga emas ditemui mati dengan tetakan disyaki dibunuh
By Ilamparithi
IPOH – Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan disyaki dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, polis telah menerima maklumat kejadian itu sekitar jam 10 malam.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian badan, kepala dan leher mangsa yang berusia 70 tahun disyaki telah ditetak.
"Pemeriksaan polis di lokasi turut menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
"Kejadian dimaklumkan sendiri oleh anak mangsa. Buat masa ini masa sebenar kejadian belum dapat dipastikan.
"Bagaimanapun berdasarkan siasatan awal, kejadian mungkin berlaku dalam tempoh antara jam 4.45 petang hingga 10 malam iaitu kali terakhir mangsa dilihat keluar rumah sehingga ditemui dibunuh," katanya pada Selasa.
Tambah beliau, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang juga jiran mangsa untuk membantu siasatan lanjut dalam kes terbabit.
Malah jelasnya, lelaki terbabit didapati pernah menerima rawatan pesakit psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Februari lalu.
"Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian tersebut.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," tegsnya lagi.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbaabit agar menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- Alaiolinews

Comments
Post a Comment